Text


Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah

Kematian adalah satu kepastian bagi makhluk yang bernyawa. Redha ataupun tidak, bersedia ataupun sebaliknya, kita pasti akan menemuinya. Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau tidak. Kematian itu pasti mencari dimana saja roh itu berada.

Firman ALLAH SWT dalam surah An-Nisaa' ayat 78:

"Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh"

Begitulah hakikat kematian bersumberkan Al-Quran. Walaubagaimanapun keadaan yang bergolak dalam pemikiran manusia mengenai kematian, namun hakikat dan takdir Ilahi tidak dapat dihalang.

Dan perlu kita ingat bahawa kematian itu pasti akan mengejar kita walau dimana kita berada. Dan sesungguhnya kedatangannya tidak diundang dan ianya datang pada waktu yang amat tepat dan tidak mungkin akan terlewat dan tercepat seperti Firman ALLAH SWT dalam surah Al-A'raf ayat 34:

"Apabila sampai ajal maut seseorang itu,ia tidak dapat ditunda atau dipercepat walau sesaat pun"

Dan hari ini(13 ogos 2009),Ustaz Asri Ibrahim, iaitu Vokalis utama kumpulan Rabbani yang dahulunya pernah berjuang bersama-sama kumpulan Nada Murni telah membuktikan kebenaran mengenai hakikat kematian. Pemergian beliau ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung pasti memberikan kesan yang amat mendalam dalam industri hiburan Islam tanah air.

Sudah tentu pemergian beliau amat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat yang cintakan seni hiburan Islam. Tidak ketinggalan juga bagi saya, yang selama ini amat meminati nasyid-nasyid alunan beliau yang amat mendidik jiwa dan rohani. Biarpun hanya 2 kali bertentang mata(Ketika majlis berbuka puasa pada tahun 2007 dan ketika Konsert Antara Dunia 09-ketika menjadi ajk keselamatan di tempat parking kereta-), namun saya rasakan seolah-olah sudah mengenali beliau terlalu lama. Melihat raut muka yang penuh dengan ketenangan,penuh dengan semangat perjuangan dan senyuman beliau yang mampu membuatkan setiap jiwa pasti tersentuh. Dan tambah mengharukan dan membanggakan apabila penghujung hayat beliau telah ditakdirkan berakhir dijalan tarbiah kerana ingin menjayakan rakaman program Syahadah yang akan ditayangkan sempena bulan Ramadhan yang bakal menyusul tiba walaupun beliau berada dalam keadaan yang lemah.

Namun begitu,perlu diingatkan,pemergian beliau meninggalkan alam dunia ini bukan babak penyudah kehidupan yang abadi, malahan ia adalah salah satu jalan yang perlu ditempuhi bagi setiap pengembara yang ingin menemui cintaNya kerana perpindahan dari alam dunia ke alam kubur adalah ibarat transit sementara sebelum ke destinasi akhirat yang pasti dan kekal abadi.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para syuhada dan orang-orang yang beriman.InsyaALLAH...


No comments: