Text


Saturday, July 4, 2009

KEWAJIPAN MAHASISWA MEWUJUDKAN BI'AH SOLEHAH DI KAMPUS & TEMPAT KEDIAMAN

Apabila dengar sahaja mahasiswa, masyarakat akan melabelkan mereka ini adalah golongan yang intelektual, cerdik, pandai dan perkataan “maha” sahaja sudah tergambar kekuasaan. Tapi sayangnya, intelektual, cerdik dan pandai telah disalah tafsirkan oleh sistem sekular yang mana mahasiswa di pusat-pusat pengajian tinggi(IPT) hanya belajar sahaja dan membiarkan diri dikelilingi dan dipengaruhi dengan sistem sekular. Sistem sekular ini bukan sahaja berleluasa di menara gading, malah di bangku sekolah lagi sistem ini sudah mendidik pemuda Islam supaya menjadi “mandul” di dalam semua aspek kerohanian. Kesan daripada sistem ini jugalah yang menyebabkan mereka segolongan mereka masih berfikiran sempit dan jumud apabila melangkah ke IPT dan sudah bergelar mahasiswa.

Mesti ada yang tertanya-tanya apakah itu sistem sekular? Macam pernah didengari dan ada juga yang tidak tahu langsung. Sistem ini telah dibawa oleh penjajah British sejak negara kita belum merdeka lagi iaitu sistem yang mengasingkan agama dengan kehidupan dan dimasukkan ke dalam pentadbiran negara kita dan kekal sehingga sekarang yang mana bab harta, kahwin, cerai dan lain-lain itu adalah urusan agama, tetapi bab perundangan, ekonomi dan pengurusan itu tidak ada kaitan langsung dengan Islam, sedangkan Islam itu syumul sehinggakan dari kita bangun tidur hingga kita tidur semula, semuanya diajar dalam Islam. Apa kaitannya dengan Islam dan sistem sekular? Bukankah negara kita sebuah negara Islam? Mengapa perlunya digabungkan dengan sistem sekular? Bukankah Islam itu ada sistemnya yang tersendiri?

Anda cuba fikirkan kembali sejarah islam,dengan sistem sekular inilah zaman khilafah Islam Usmaniah jatuh di Turki dan Islam telah hilang zaman kegemilangannya dan sekarang kita sedang mengamalkan sistem ini! Inilah sistem yang menghancurkan umat Islam sehingga sekarang. Jadi, apa kaitannya dengan mahasiswa? Bukankah mahasiswa adalah generasi pemimpin yang bakal menggantikan pemimpin pada masa kini dan mahasiswa adalah satu-satunya aset negara.

Mari kita fikirkan apa kaitan dengan “bi'ah solehah” pula? Em… apabila kita melihat matlamat utama Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di Mesir, iaitu ada lima peringkat untuk mengembalikan khilafah Islam iaitu bermula dari perubahan pada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan barulah kita dapat kembalikan dunia Islam yang dirampas oleh musuh Islam. Tetapi dalam konteks kita di IPT iaitu bermula dengan mewujudkan negara Islam dalam diri, rakan sebilik, rakan satu blok, dan masyarakat sekeliling yang mana kita dapat mewujudkan “bi'ah solehah”, iaitu suasana Islam di kampus dan secara automatik, mereka ini akan menjadi pejuang dan perubahan “tajdid” untuk perubahan kepada sistem Islam yang sebenar. Dengan hal ini, dapatlah kita menguasai bukan sahaja negara Islam tetapi dunia Islam. Oleh itu, marilah kita berganding bahu bersama untuk memperjuangkan agama Allah iaitu agama Islam. Mudah-mudahan kita dipilih oleh Allah untuk tergolong di kalangan Ghuraba’, Ashabul Ukhdud, Ashabul Kahfi dan Ikhwan di akhir zaman tetapi ingat, kemenangan Islam bukan terletak pada semangat semata-mata, tetapi terletak pada ketaqwaan kita kepada Allah. Kemenangan Islam semakin hampir dan jika kita masih lalai, kita akan rugi.

Akhirnya,ingat! Islam tidak memerlukan kita, tetapi kita yang memerlukan Islam. Islam akan menang sebelum datangnya hari kiamat, itulah janji Allah. Mudah-mudahan kita adalah orang yang memperjuangkan kemenangan itu, kalau syahid tak rugi, dan kalau hidup kita akan dapat melihat janji Allah terlaksana di depan mata. Wahai mahasiswa, marilah sama-sama mewujudkan “bi'ah solehah” iaitu suasana Islam di kampus dan sekitar kawasan kediaman kita. Jom kawan-kawan… apa tunggu lagi, kita bukan di kalangan mahasiswa yang “mandul”. Kembalikan cara hidup Islam! Islam! Islam! Bukan cara hidup sekular yang direka oleh musuh Islam untuk melemahkan mahasiswa macam kita.